Sarjana Muda Syariah Fiqh & Usul  

Posted by WaN_IkRaM


Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya sudah menjangkau 25 tahun usianya. Di sebalik sejarahnya yang cukup mengagumkan dengan kelahiran para cendekiawan muslim yang banyak memberi sumbangan di dalam bidang pengajian Islam, ia juga telah melalui beberapa siri pembaharuan, daripada struktur organisasinya, sehinggalah kepada penetapan subjek yang akan dipelajari oleh para pelajar di akademi ini.

Pada kali ini, penulis ingin memberikan sedikit informasi berkenaan dengan jurusan dan jabatan yang penulis ambil. Di Akademi Pengajian Islam, terdapat jurusan Syariah, Usuluddin, Pendidikan Islam dan Pengajian Islam Dengan Sains Gunaan. Alhamdulillah, pada sesi 2007/2008, penulis telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda Syariah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) ini. Akhirnya, Allah telah mengabulkan hajat penulis untuk mengambil pengkhususan di dalam bidang Fiqh & Usul yang telah lama menjadi idaman penulis.



Di dalam jurusan Syariah, terdapat 5 pengkhususan (ataupun ianya dipanggil jabatan).
1. Syariah Fiqh & Usul
2. Syariah & Ekonomi
3. Syariah & Siasah Syar'iyyah
4. Syariah & Pengurusan Muamalat
5. Syariah & Falak Syar'i

Manakala Syariah & Undang-Undang pula sudah menjadi jurusan yang tersendiri baru-baru ini, dan sudah terpisah daripada jurusan Syariah.

Jurusan Syariah Fiqh & Usul, adalah merupakan Core Course di dalam jurusan Syariah. Ini adalah kerana subjek-subjek yang wajib diambil oleh pelajar-pelajar Syariah adalah merupakan subjek-subjek fiqh dan usul fiqh seperti Nazariyat al-Hukm, Fiqh Ibadat, Fiqh Jenayat, Fiqh Usrah, Fiqh Muamalat, Qawaid al-Tafsir, al-Qiyas dan berbagai-bagai lagi.

Manakala bagi pelajar-pelajar jurusan Syariah Fiqh & Usul sendiri pula, sudah tentu difokuskan pembelajaran kepada fiqh dan usul fiqh. Antara subjek-subjek yang akan dipelajari ialah Dirasah al-Ijmak, Syariat Islam Di Malaysia, Fiqh Zakat, Fiqh Budaya, Pengajian Hudud, Qawaid al-Fiqhiyyah, Manahij al-Fuqaha', Urf Wa al-Maslahah, Amalan Fatwa, Fiqh Ikhtilaf, Fiqh Kepenggunaan, dan lain-lain lagi.

Mungkin ada segelintir pelajar di institusi lain yang menganggap bahawa ada subjek yang sepatutnya dipelajari oleh pelajar Fiqh & Usul ini, tetapi tidak disenaraikan sebagai subjek yang wajib dipelajari, ataupun tiada langsung di dalam senarai subjek yang akan dipelajari. Ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri dengan rakan-rakan yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi yang lain. Tetapi penulis ingin menyatakan bahawa setiap Institusi Pengajian Tinggi mempunyai kelebihan yang tersendiri, dan mungkin juga ada kekurangan tersendiri. Tidak perlu untuk memperlekehkan di antara satu sama lain, kita sama-sama mempelajari agama, dan kita berada di atas jalan kita masing-masing. Adalah lebih baik jika kita sama-sama untuk memikirkan usaha bersama yang boleh menutup kekurangan masing-masing.

Jurusan Syariah Fiqh & Usul ini (berdasarkan sesi penulis) adalah selama 3 tahun. Dan berkemungkinan akan menjadi 4 tahun pada masa-masa akan datang. Penulis perlu meghabiskan sebanyak 102 jam kredit sepanjang 3 tahun pembelajaran. Dan ianya mungkin bertambah pada masa akan datang.

Manakala pensyarah-pensyarah yang mengajar di Jabatan Fiqh & Usul ini merupakan pensyarah yang amat berkelayakan di dalam bidang masing-masing. Di antaranya ialah :
Prof. Madya Dr. Raihanah Azhari
Prof. Madya Dr. Anisah Abdul Ghani
Prof. Madya Dr. Rahimin Affandi Abdul Rahim
Prof. Madya Dr. Shamsiah Mohamad
Prof. Madya Dr. Naemah Abdul Rahman
Dr. Abdul Karim Ali
Dr. Luqman Abdullah
Dr. Ridzwan Ahmad
Dr. Rushdi Ramli
Dr. Saa'dan Man
Untuk rujukan lebih lanjut klik pautan di bawah

http://apium.um.edu.my/staff/F&U/JFU_menu.html


Salam Sejahtera  

Posted by WaN_IkRaM

Assalamualaikum wth...

Zaman kini sudah menunjukkan kepesatan yang begitu deras di dalam arus dunia "segala maklumat di hujung jari". Salah satu medium kepada dunia ini sudah tentu ialah BLOG yang semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia. Sebagai seorang pelajar yang merasakan bahawa medan blog ini merupakan medan perantara kepada pelbagai kegunaan, tidak dapat tidak, penulis terpanggil untuk mencipta blog ini.

Dengan bertujuan untuk berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman penulis sepanjang mempelajari ilmu di bumi Allah ini, terutama setelah penulis menjejakkan kaki di bumi Universiti Malaya, penulis amat mengharapkan para pengunjung sentiasa mengutarakan perbincangan dan kritikan supaya kita semua mendapat faedah yang besar dan manfaat yang berguna di samping mengetahui pemikiran yang pelbagai sesama kita. Manakala sebagai orang baru, penulis mengharapkan sokongan dan kritikan yang membina daripada rakan-rakan dan para pengunjung yang mengunjungi blog ini. Semoga dengan sumbangan, sokongan dan kritikan seperti itu, akan dapat memberikan kita semua manfaat yang berguna.

Akhir kata, penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengunjung semua kerana sudi melayari blog ini. Dengan harapan pengunjung akan sentiasa melayari blog ini, penulis juga mengharapkan semoga pengunjung menyebarkan blog ini kepada orang ramai supaya kita semua beroleh manfaat. Sekian, terima kasih.

Wassalam..