KAJIAN SYARIAH ISLAM DI ALAM MELAYU  

Posted by WaN_IkRaM in

BAGAIMANAKAH KAJIAN SYARIAH ISLAM DI ALAM MELAYU PERLU DILAKUKAN

Trend Kajian Syariah Yang terdapat di Malaysia pada zaman kini:
Di Alam Melayu, terutamanya pada zaman moden ini, terdapat empat kaedah dan trend yang digunapakai oleh masyarakat di dalam kajian Syariah iaitu :
1. Pendekatan Orientalism
2. Pendekatan Idealism
3. Pendekatan Salafiah Timur Tengah
4. Pendekatan Pertengahan

Pendekatan Orientalism
Pendekatan ini merupakan pendekatan yang skeptik dan lebih suka berpandangan sinis dan juga tidak menghargai sumbangan mubaligh Islam yg awal. Contohnya seperti pandangan Van Nieuwenhuijze yang mengatakan bahawa Islam hanyalah selaput luar masyarakat Alam Melayu, sedangkan isi dalaman masih lagi merupakan warisan pra-Islam. Pandangan ini dengan jelas menunjukkan bahawa usaha yang dilakukan oleh para mubaligh Islam yang datang ke Alam Melayu merupakan usaha yang sia-sia dan perkara ini diambil remeh oleh mereka. Malah, corak pemikiran para pendokong pendekatan ini begitu terpengaruh dengan pemikiran Barat. Di Alam Melayu, boleh dikatakan pendekatan ini disokong oleh musuh-musuh Islam yang mencemburui dan tidak senang dengan Islam dan cuba memburuk-burukkan Islam.

Pendekatan Idealism
Pendekatan ini menggunakan pemikiran yang positif di dalam pandangan mereka. Walaupun begitu, pandangan positif yang melampau di dalam pendekatan Idealism ini menyebabkan tiadanya cacat cela di dalam beberapa perkara, contohnya mereka mendakwa bahawa proses Islamisasi di Alam Melayu telah berjaya menghakis semua elemen negatif zaman pra-Islam dan diganti dengan paradigma Tauhid yang lengkap dari luar dan dalam masyarakat Islam di Alam Melayu.

Pendekatan Salafiah Timur Tengah
Pendekatan ini mempunyai sikap yang jahil dan berpandangan sinis terhadap budaya Melayu yang diwarisi sejak dari turun temurun. Bagi mereka, model Islam sejati yang perlu dilihat dan dicontohi adalah Islam di Timur Tengah. Perlunya untuk merujuk kepada amalan Timur Tengah ini membawa kepada nisbah bahawa Islam Alam Melayu ini merupakan Islam pinggiran, dan Islam sejati adalah Islam Timur Tengah.

Pendekatan Pertengahan
Pendekatan yang bersifat apologetik dan kritikal dengan perkembangan syariah di Alam Melayu. Setiap permasalahan yang timbul, banyak perkara dilihat dan dikaji oleh pendekatan ini dari pelbagai aspek. Budaya masyarakat Melayu diambil kira dan perkara baik dari unsur luar juga diterima. Ini merupakan pendekatan yang mengambil kira keseimbangan sesuatu perkara, tidak terlalu fanatik dan juga tidak terlalu longgar.

LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MEMBUAT KAJIAN SYARIAH DI ALAM MELAYU.

Terdapat dua langkah yang perlu dilakukan di dalam mengenal pasti kajian Syariah yang sepatutnya digunapakai di alam Melayu.

Pertama : Kenalpasti kaedah yang salah tentang kajian Syariah.

Setelah mengkaji keempat-empat trend kajian Syariah Islam di Alam Melayu, terdapat banyak unsur yang tidak dapat diterima sebagai kajian yang sepatutnya diamalkan di alam Melayu. Kajian-kajian syariah yang salah ini sepatutnya diketahui dengan lebih mendalam supaya kaedah dan kajian syariah yang sepatutnya dilakukan di alam Melayu dapat dibentuk dan diamalkan tanpa ada unsur daripada trend kajian syariah yang salah.
Genre Orientalism contohnya merupakan pendekatan evolutionist dan diffusionionism. Pendekatan yang memandang rendah kemampuan masyarakat Melayu dalam membina tamadun ini tidak dapat diterima sebagai satu pendekatan di dalam kajian Syariah di alam Melayu. Mereka mengatakan bahawa tamadun Melayu hanya banyak terpengaruh dengan budaya asing seperti Arab, Parsi dan India.
Manakala pendekatan Salafiah Timur Tengah pula menggunakan pendekatan normatif dan historis yang berasaskan tradisi Timur Tengah. Bagi mereka Islam di Timur Tengah adalah merupakan Islam yang paling betul sekali manakala Islam di tempat lain dan di alam Melayu merupakan Islam pinggiran dan bercampur dengan pelbagai unsur khurafat warisan pra-Islam, bid’ah yang dikatakan sesat dan menyesatkan. Adat Melayu dipandang secara negatif di dalam pendekatan ini. Malah tajdid yang berlaku di Timur Tengah perlu diterapkan di alam Melayu walaupun perkara ini jelas bertentangan dengan sosiobudaya dan keadaan alam Melayu.


Kedua : Sediakan kaedah kajian syariah alternatif yang lebih sesuai untuk konteks alam Melayu.

Setelah pendekatan dan trend kajian Syariah Islam yang terdapat di alam Melayu dikaji, maka untuk mencari penyelesaiannya, perlulah mengemukakan satu cadangan pendekatan kajian Syariah Islam di alam Melayu yang terbaik dan sesuai dalam konteks alam Melayu dari segi tempat dan keadaan di alam Melayu.

KESIMPULAN
Pendekatan di dalam kajian Syariah Islam di alam Melayu merupakan perkara yang amat penting di dalam memastikan segala penyelesaian yang dibuat berdasarkan pendekatan ini adalah menepati apa yang dikatakan setempat dan sesuai dengan budaya dan sifat masyarakat melayu. Sebarang keputusan yang didasarkan hanya semata-mata kepada unsur luaran ataupun di luar kawasan alam Melayu, serta tidak mengambil kira warisan tradisi budaya dan adat setempat bukanlah merupakan satu keputusan dan penyelesaian yang terbaik. Oleh tu, pendekatan yang dilihat merupakan satu pendekatan kajian syariah Islam di alam Melayu yang tepat dan sepatutnya diamalkan merupakan Pendekatan Pertengahan.

This entry was posted on Friday, October 16, 2009 at 6:43 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment