Godaan Iblis Dalam Solat  

Posted by WaN_IkRaM




Rasulullah s.a.w telah menyoal Iblis sabdanya,

" Wahai iblis, ketika umatku berdiri mendirikan solat, bagaimanakah hal engkau pada waktu itu ?" Jawab iblis,

" Waktu itulah masa yang paling sukar
bagiku, seluruh badan aku akan menggeletar dan lemah. Lalu aku memerintahkan sekelian bala tenteraku yang terdiri dari syaitan dan jin supaya menggoda orang yang hendak solat itu.

" Setiap orang akan digoda oleh berpuluh-puluh syaitan, setengah pada anggotanya supaya ia berasa malas." " Setengah akan masuk kedalam hatinya supaya ia merasa was-was serta terlupa akan bilangan rakaat dan bimbang terhadap pekerjaan dunia lalu ia segera keluar dari sembahyangnya."

"Setengah akan masuk kedalam mata dan menjadikan hatinya tidak senang. Setengah yang lain pula akan duduk di atas belakangnya supaya orang itu tidak tahan lama untuk duduk tahyat akhir, sementara di dalam hatinya berkehendakkan supaya sembahyang itu cepat habis.

Semua godaan ini adalah supaya pahala sembahyang seseorang umatmu itu menjadi kurang. Sekiranya segala godaan syaitan itu tidak berhasil maka akan aku hukum dengan seberat-berat hukuman ke atas syaitan-syaitan itu!!".




Seminar Hukum Islam Semasa VI  

Posted by WaN_IkRaM



Menjemput saudara saudari yang berminat untuk menyertai seminar Hukum Islam Semasa 6 anjuran Jabatan Fiqh Dan Usul Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya seperti mana berikut :

Layari Blog SHIS VI ini :

http://shis6.blogspot.com/

MEMINUM ARAK  

Posted by WaN_IkRaM in

KESALAHAN MEMINUM ARAK

Pengharaman Arak

Al-Quran : Allah mengharamkan arak menggunakan kaedah berperingkat-peringkat di dalam al-Quran.

1. Bermula dengan membezakan di antara rezeki yang halal dengan arak secara tidak langsung (al-Nahl : 67).
2. Kemudian penerangan kandungan arak dan kegunaannya di dalam kehidupan, walaupun ada manfaatnya, tetapi keburukannya lebih besar lagi. (al-Baqarah : 219)
3. Pengharaman di dalam waktu solat sahaja. (al-Nisa’ : 43)
4. Pengharaman secara total. (al-Maidah : 90, 91)

Pengharaman berperingkat ini merupakan kaedah pengharaman yang amat bijaksana kerana di akhirnya, umat Islam telahpun bersedia sepenuhnya untuk meninggalkan arak.

HAD SEBATAN BAGI KESALAHAN MEMINUM ARAK

Al-Quran : Langsung tidak menyentuh mengenai hukuman duniawi terhadap peminum arak.
Al-Sunnah : Berbagai riwayat hadis tentang hukuman bagi peminum arak diriwayatkan oleh para sahabat dan ulama’. Maka jika pengharamannya ada dalil, hukuman pun ada dalil, jelaslah ianya merupakan hudud.

Jumlah Sebatan Kesalahan Meminum Arak
JUMHUR FUQAHA’ : 80 kali sebatan
SYAFI’E dan ZAHIRI : 40 kali sebatan


Punca perselisihan pendapat dikalangan para Fuqaha’.

Punca perselisihan adalah berdasarkan hadis yang menyatakan bahawa Abu Bakar menyebat 40 kali sebatan, manakala Umar menyebat 80 kali sebatan pada akhir pemerintahannya disebabkan keadaan yang mendesak untuk menambah bilangan sebatan oleh kerana berleluasanya kesalahan meminum arak dan menjualnya.

Sebagaimana hadis yang paling jelas sahih yang diriwayatkan kepada kita bahawa nabi menyebat 40 kali sebatan, Abu Bakar juga menyebat 40 kali sebatan, juga Umar pada awal pemerintahannya menyebat 40 kali sebatan, merupakan hukuman hudud yang sebenarnya telah dilaksanakan oleh nabi Muhammad s.a.w. dan khulafa’ al-rasyidin. Maka hukuman yang telah ditetapkan merupakan 40 kali sebatan.

Manakala hadis-hadis yang berbagai-bagai bentuk hukumannya, yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri terhadap peminum arak , (seperti melumurkan muka peminum arak dengan tanah, disuruh mencemuh peminum arak, adakala juga peminum arak dilarang daripada dicemuh) sebenarnya adalah merupakan ajaran nabi kepada umatnya bahawa hukuman tambahan (jika ingin dilakukan) boleh dan harus dan hukuman yang berbagai-bagai ini merupakan bukti bahawa ianya merupakan hukuman yang berbentuk ta’zir.

Hukuman yang berbagai-bagai yang dilakukan oleh Nabi s.a.w, sebenarnya merupakan didikan tentang hukuman ta’zir yang dibolehkan tambahannya pada hukuman hudud yang telah ditetapkan. Umar misalnya, menambah hukuman bagi peminum arak ini selepas menyebatnya dengan hukuman yang berbagai-bagai. ( Membakar rumah penjual arak, peminum arak dibuang daerah, menukar rambut peminum arak dan sebagainya.) Ini dilakukan oleh Umar apabila beliau benar-benar memahami bahawa Rasulullah s.a.w. membuatnya atas dasar hukuman tambahan ini merupakan hukuman ta’zir.

Jika 80 kali sebatan yang dilakukan oleh Umar r.a. kita ambil sebagai hukum hudud, maka segala penambahan yang pernah dilakukan oleh beliau selain daripada penambahan bilangan sebatan juga perlu diterima sebagai hudud.

Sebatan 80 kali yang dicadangkan dan lebih disukai oleh Ali bin Abi Talib juga adalah berdasarkan pemahamannya bahawa ianya merupakan 40 kali hudud dan 40 kali yang lain merupakan tambahan dan bersifat ta’zir. Oleh kerana itulah, Ali berkata : “Aku tidak pernah terasa terkilan apabila seseorang yang dikenakan hukuman hudud itu mati kecuali peminum arak. Sekiranya dia mati (selepas dihukum) aku pasti akan membayar diatnya. Ini kerana Rasulullah tidak pernah menentukan hukuman itu”.

80 kali sebatan masih lagi merangkumi 40 kali sebatan, maka logiknya, ianya diterima 40 kali hudud, 40 kali lagi tambahan ta’zir. Sebab itulah Ali berkata sedemikian, kerana jika seseorang itu mati selepas dihukum 80 kali sebatan, kemungkinan besar dia mati kerana penambahan ta’zir sebanyak 40 kali lagi. Tetapi jika 80 kali merupakan hudud, mengapa Ali mengatakan sedimikian?

KAJIAN SYARIAH ISLAM DI ALAM MELAYU  

Posted by WaN_IkRaM in

BAGAIMANAKAH KAJIAN SYARIAH ISLAM DI ALAM MELAYU PERLU DILAKUKAN

Trend Kajian Syariah Yang terdapat di Malaysia pada zaman kini:
Di Alam Melayu, terutamanya pada zaman moden ini, terdapat empat kaedah dan trend yang digunapakai oleh masyarakat di dalam kajian Syariah iaitu :
1. Pendekatan Orientalism
2. Pendekatan Idealism
3. Pendekatan Salafiah Timur Tengah
4. Pendekatan Pertengahan

Pendekatan Orientalism
Pendekatan ini merupakan pendekatan yang skeptik dan lebih suka berpandangan sinis dan juga tidak menghargai sumbangan mubaligh Islam yg awal. Contohnya seperti pandangan Van Nieuwenhuijze yang mengatakan bahawa Islam hanyalah selaput luar masyarakat Alam Melayu, sedangkan isi dalaman masih lagi merupakan warisan pra-Islam. Pandangan ini dengan jelas menunjukkan bahawa usaha yang dilakukan oleh para mubaligh Islam yang datang ke Alam Melayu merupakan usaha yang sia-sia dan perkara ini diambil remeh oleh mereka. Malah, corak pemikiran para pendokong pendekatan ini begitu terpengaruh dengan pemikiran Barat. Di Alam Melayu, boleh dikatakan pendekatan ini disokong oleh musuh-musuh Islam yang mencemburui dan tidak senang dengan Islam dan cuba memburuk-burukkan Islam.

Pendekatan Idealism
Pendekatan ini menggunakan pemikiran yang positif di dalam pandangan mereka. Walaupun begitu, pandangan positif yang melampau di dalam pendekatan Idealism ini menyebabkan tiadanya cacat cela di dalam beberapa perkara, contohnya mereka mendakwa bahawa proses Islamisasi di Alam Melayu telah berjaya menghakis semua elemen negatif zaman pra-Islam dan diganti dengan paradigma Tauhid yang lengkap dari luar dan dalam masyarakat Islam di Alam Melayu.

Pendekatan Salafiah Timur Tengah
Pendekatan ini mempunyai sikap yang jahil dan berpandangan sinis terhadap budaya Melayu yang diwarisi sejak dari turun temurun. Bagi mereka, model Islam sejati yang perlu dilihat dan dicontohi adalah Islam di Timur Tengah. Perlunya untuk merujuk kepada amalan Timur Tengah ini membawa kepada nisbah bahawa Islam Alam Melayu ini merupakan Islam pinggiran, dan Islam sejati adalah Islam Timur Tengah.

Pendekatan Pertengahan
Pendekatan yang bersifat apologetik dan kritikal dengan perkembangan syariah di Alam Melayu. Setiap permasalahan yang timbul, banyak perkara dilihat dan dikaji oleh pendekatan ini dari pelbagai aspek. Budaya masyarakat Melayu diambil kira dan perkara baik dari unsur luar juga diterima. Ini merupakan pendekatan yang mengambil kira keseimbangan sesuatu perkara, tidak terlalu fanatik dan juga tidak terlalu longgar.

LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DILAKUKAN UNTUK MEMBUAT KAJIAN SYARIAH DI ALAM MELAYU.

Terdapat dua langkah yang perlu dilakukan di dalam mengenal pasti kajian Syariah yang sepatutnya digunapakai di alam Melayu.

Pertama : Kenalpasti kaedah yang salah tentang kajian Syariah.

Setelah mengkaji keempat-empat trend kajian Syariah Islam di Alam Melayu, terdapat banyak unsur yang tidak dapat diterima sebagai kajian yang sepatutnya diamalkan di alam Melayu. Kajian-kajian syariah yang salah ini sepatutnya diketahui dengan lebih mendalam supaya kaedah dan kajian syariah yang sepatutnya dilakukan di alam Melayu dapat dibentuk dan diamalkan tanpa ada unsur daripada trend kajian syariah yang salah.
Genre Orientalism contohnya merupakan pendekatan evolutionist dan diffusionionism. Pendekatan yang memandang rendah kemampuan masyarakat Melayu dalam membina tamadun ini tidak dapat diterima sebagai satu pendekatan di dalam kajian Syariah di alam Melayu. Mereka mengatakan bahawa tamadun Melayu hanya banyak terpengaruh dengan budaya asing seperti Arab, Parsi dan India.
Manakala pendekatan Salafiah Timur Tengah pula menggunakan pendekatan normatif dan historis yang berasaskan tradisi Timur Tengah. Bagi mereka Islam di Timur Tengah adalah merupakan Islam yang paling betul sekali manakala Islam di tempat lain dan di alam Melayu merupakan Islam pinggiran dan bercampur dengan pelbagai unsur khurafat warisan pra-Islam, bid’ah yang dikatakan sesat dan menyesatkan. Adat Melayu dipandang secara negatif di dalam pendekatan ini. Malah tajdid yang berlaku di Timur Tengah perlu diterapkan di alam Melayu walaupun perkara ini jelas bertentangan dengan sosiobudaya dan keadaan alam Melayu.


Kedua : Sediakan kaedah kajian syariah alternatif yang lebih sesuai untuk konteks alam Melayu.

Setelah pendekatan dan trend kajian Syariah Islam yang terdapat di alam Melayu dikaji, maka untuk mencari penyelesaiannya, perlulah mengemukakan satu cadangan pendekatan kajian Syariah Islam di alam Melayu yang terbaik dan sesuai dalam konteks alam Melayu dari segi tempat dan keadaan di alam Melayu.

KESIMPULAN
Pendekatan di dalam kajian Syariah Islam di alam Melayu merupakan perkara yang amat penting di dalam memastikan segala penyelesaian yang dibuat berdasarkan pendekatan ini adalah menepati apa yang dikatakan setempat dan sesuai dengan budaya dan sifat masyarakat melayu. Sebarang keputusan yang didasarkan hanya semata-mata kepada unsur luaran ataupun di luar kawasan alam Melayu, serta tidak mengambil kira warisan tradisi budaya dan adat setempat bukanlah merupakan satu keputusan dan penyelesaian yang terbaik. Oleh tu, pendekatan yang dilihat merupakan satu pendekatan kajian syariah Islam di alam Melayu yang tepat dan sepatutnya diamalkan merupakan Pendekatan Pertengahan.

Zakat Pendapatan : Teori dan Kaedah Pengiraan  

Posted by WaN_IkRaM in

Takrif Zakat Pendapatan (al-Mal al-Mustafad)

Apa-apa hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa upah, gaji, hadiah, bonus, elaun, honorarium, pampasan, pencen dan lain-lain bentuk pulangan semasa hidup, bersara atau mati atau dan pendapatan berdasarkan kerjaya profesional dengan syarat bukan disebabkan pelaburan atau perniagaan.

Zakat Pendapatan di Malaysia

 Merujuk kepada sumber zakat baru yang diperkenalkan secara meluas oleh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi (Fiqh al-Zakat Dirasah Muqaranah li-Ahkamila wa Falsafah fi Daw al-Quran wa al-Sunnah).

 Berputik di Malaysia pada1970-an yang dipelopori oleh Dr Abdul Rashid Hj Dail (pensyarah kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM).
 Negeri yang mengamalkan zakat al-Mal al-Mustafad : Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Perlis, Wilayah Persekutuan dan Kelantan.


Harta yang Diklasifikasi Dalam Konsep al-Mal al-Mustafad
 Gaji
 Pendapatan bebas dan pendapatan ahli professional
 Perniagaan bermusim
 Pendapatan pindahan
 Lain-lain

Tanggapan Terhadap Zakat Pendapatan (al-Mal al-Mustafad)

Pendapat berkenaan hukum atau pelaksanaan zakat al-Mal al-Mustafad :

 Golongan yang bertegas bahawa zakat al-Mal al-Mustafad tidak ada dalil tetapi orang yang berkemampuan digalakkan menyumbang kepada individu atau institusi. Ia dianggap sebagai sumbangan bukan zakat.
 Di wajibkan zakat al-Mal al-Mustafad, berasaskan hujah maslahah.
 Di wajibkan zakat al-Mal al-Mustafad, berasaskan nas al-Quran, al-hadith dan ijtihad.

Dalil Zakat al-Mal al-Mustafad

Dalil al-Quran :

 Surah al-Baqarah, ayat 267.
 Surah al-Taubah, ayat 103.
 Surah al-Taubah, ayat 34.

Dalil al-Hadith :

 Hadith riwayat Aisyah puteri Qudamah b Maz`un

Haul Zakat al-Mal al-Mustafad Dikira

Yusuf al-Qaradhawi : Tidak ada haul dalam zakat al-Mal al-Mustafad

Hujjah :

 Pensyaratan haul dalam zakat tidak berasaskan nas yang sahih.
 Nas-nas yang mewajibkan zakat dalam al-Quran dan al-Sunnah bersifat umum dan mutlak dan tidak mengandungi syarat haul di dalamnya.
 Zakat al-Mal al-Mustafad diqiaskan dengan zakat pertanian yang tidak mempunyai haul.
 Pensyaratan haul dalam mewajibkan zakat al-Mal al-Mustafad jelas sekali bertentangan dengan konsep keadilan Islam.


Nisab Zakat al-Mal al-Mustafad


 Muhamad al-Ghazzali al-Saqa: Nisab zakat pendapatan sama dengan nisab zakat pertanian. Ini bererti zakat akan dipungut daripada pendapatan setahun yang sama dengan harga 400 gantang padi, iaitu selepas ditolak segala perbelanjaan.

 Yusuf al-Qaradhawi : Nisab zakat pendapatan sama dengan nisab zakat emas dan . Ini bererti zakat akan dipungut daripada pendapatan setahun yang sama dengan harga 20 mithqal atau 85 gram emas, iaitu selepas ditolak segala perbelanjaan.


Cara Nisab Zakat al-Mal al-Mustafad Dikira

Kaedah Pertama :
Nisab perlu dikira berasaskan jumlah pada setiap kali pendapatan berkenaan diterima.

Gaji : RM 4 500
KWSP : RM 200
Hutang Rumah : RM 200
Hutang Kereta : RM 400
Anak : RM 1 000
Isteri : RM 500

Gaji Bersih : RM2 200
2.5 % X RM2200 : RM 55

Kaedah Kedua :
Nisab perlu dikira berasaskan pendapatan setahun.

Gaji : RM 4 500
KWSP : RM 200
Hutang Rumah : RM 200
Hutang Kereta : RM 400
Anak : RM 1 000
Isteri : RM 500

Gaji Bersih : RM 2 200

RM2200 X 12Bulan : RM 26,400
2.5 % X RM26 400 : RM 660

 2.5% mengikut kadar zakat emas.

Ramadhan..  

Posted by WaN_IkRaM in


Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan : "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: *Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); * Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri; * Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanyak 3 kali. Dapatkah kita bayangkan, yang berdo'a adalah Malaikat dan yang meng-amiinkan adalah Rasullullah dan para sahabat , dan dilakukan pada hari Jumaat. Oleh itu SAYA TERLEBIH DAHULU MEMOHON MAAF jika saya ada berbuat kesalahan, baik yang tidak di sengaja maupun yang disengajakan , semoga kita dapat menjalani ibadah puasa dengan penuh keberkatan

PENYEBARAN AJARAN SESAT  

Posted by WaN_IkRaM in


Al-Riddah bermaksud perbuatan keluar daripada agama Islam oleh orang Islam yang akil baligh kepada kekufuran dengan pilihannya sendiri. Al-Riddah ini boleh berlaku kerana salah satu daripada tiga sebab[1] :

· Rosaknya keyakinan hati.

· Mengucapkan kata-kata kufur.

· Melakukan perbuatan kufur.

Ajaran sesat bermaksud sesuatu ajaran yang diajarkan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, ianya sesat dan menyeleweng daripada aqidah Islam yang sebenar yang dibawa melalui al-Quran dan al-Sunnah. Takrifannya ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau sebahagian daripada ajaran Islam sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al Quran dan al Sunnah.

Apabila seseorang itu mempercayai sesuatu ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam yang asas seperti ada rasul lagi selepas Nabi Muhammad s.a.w, menunaikan haji dengan mengelilingi batu di rumah, dan sebagainya yang benar-benar bertentangan dengan ajaran Islam yang diturunkan Allah s.w.t melalui Rasulullah s.a.w maka ia dapat dikategorikan sebagai al-Riddah dan orang yang mempercayainya adalah murtad. Maknanya, ajaran sesat adalah merupakan salah satu cara untuk seseorang itu dikategorikan sebagai murtad.

Syarat-syarat al-Riddah [2]:

· Islam.

· Taklif iaitu Akil dan Baligh.

· Dilakukan dengan sengaja.

· Perbuatan itu menyakinkan dan tidak meragukan.

Ciri-ciri Ajaran Sesat di Malaysia kebanyakannya adalah seperti berikut [3]:

1. Menyalahi Prinsip Sumber Perundangan Islam.

2. Berhubungan dengan kuasa jin, syaitan dan iblis.

3. Mengaitkan Unsur-Unsur tareqat, mitos, persilatan dan perbomohan.

4. Fanatik kepada ketua atau pemimpin.

5. Semberono dalam pengambilan hukum dan fatwa.

6. Bersifat tertutup dan banyak berahsia.

7. Beranggapan benar dan Ekstremis.

Perkaitan di antara murtad dan ajaran sesat dapat dilihat di mana ajaran sesat merupakan salah satu cabang di dalam al-Riddah. Golongan murtad yang diperangi oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq contohnya, dikategorikan sebagai sesat kerana ada yang mengaku Nabi dan mempunyai pengikut yang mengakui orang yang mendakwa sebagai Nabi itu. Perkara sedemikian juga berlaku di dalam ajaran-ajaran sesat moden di Malaysia dan di seluruh negara-negara Islam.

I’tiqad dan kepercayaan di dalam sesuatu ajaran sesat yang kemudiannya dinisbahkan bahawa ia adalah ajaran Ialam yang sebenar adalah benar-benar menyeleweng dan menyimpang dari ajaran Islam. Kesimpulannya, berdasarkan ciri-ciri ajaran sesat secara keseluruhannya, dapat diertikan bahawa ajaran sesat juga memang diaplikasikan di dalam hukum al-Riddah kerana persamaan ciri-cirinya.

Malah jika dilihat kesan buruk ajaran sesat ini, ianya perlu dibincangkan secara serius di dalam disiplin ilmu hudud. Antaranya[4] :

1. Merosakkan aqidah seseorang

2. Gejala pencemaran aqidah dan murtad berleluasa.

3. Masa terbuang dengan aktiviti tidak berfaedah.

4. Mengganggu agenda pembangunan Islam.

5. Kehidupan tidak stabil.

6. Minda tertutup dan dikongkong

7. Mengancam keselamatan negara.

8. Tanggunggjawab terabai- Runtuhnya institusi kekeluargaan

9. menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara.

Yang teramat penting ialah murtad akan berleluasa dengan kemunculan ajaran-ajaran sesat ini. Oleh itu, ajaran sesat yang bertindak sebagai salah satu kaedah, wadah dan platform untuk berleluasanya gejala murtad ini, perlu diberi penekanan. Apatah lagi penyebar kepada ajaran sesat berkenaan sepatutnya diberi hukuman yang berat supaya perkara ini dapat dibendung dan diselamatkan.

Hukuman terhadap murtad.

Berdasarkan sifat kesalahan murtad itu sendiri, fuqaha membahagikan kepada tiga bahagian iaitu hukuman asal, hukuman alternatif dan hukuman berbangkit ataupun tambahan.[5]

1. Hukuman asal

Hukuman asal bagi kesalahan ini adalah bunuh. Hukuman ini adalah wajib sama ada lelaki atau perempuan. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud, sesiapa yang menukar agamanya (Islam) maka bunuhlah dia[6]. ((من بدل دينه فاقتلوه)) Bagaimanapun, sebelum hukuman ini dapat dilaksanakan, perlulah untuk diminta bertaubat orang yang murtad itu. Ada pandangan mengatakan bahawa mustahab sahaja, dan ada yang mengatakan wajib.

2. Hukuman alternatif

Hukuman ini hanya dikenakan apabila hukuman asal tidak dapat dikenakan. Ada dua keadaan seperti itu iaitu pesalah bertaubat dan jika pesalah itu kanak-kanak atau perempuan. Hukuman yang akan dijalankan adalah seperti dipaksa masuk Islam semula dan ditahan. Malah jika perbuatan ini terjadi berulang kali, perlu dikenakan hukuman yang berat supaya ianya tidak berulang. Tetapi jika baru pertama kali, maka boleh diberi kemaafan.

3. Hukuman Berbangkit

Merampas semua harta orang yang murtad. Ada beberapa pendapat terhadap hukuman ini. Ada yang mengatakan bahawa hak milik hartanya itu masih ada tetapi pengurusannya digantung sehinggalah dia bertaubat, ada juga mengatakan tiada hak milik baginya terhadap hartanya, hanya dikembalikan apabila bertaubat, dan ada juga yang mengatakan digantung hak miliknya.

Mengurangkan kuasa pengurusan terhadap hartanya. Segala perolehan ataupun pendapatan seorang yang murtad sebenarnya tidak terjejas. Cuma pengurusannya terhadap hartanya sama ada sebelum murtad dan sesudah murtad akan digantung.[7]



[1] Drs. Abd Ghani Azmi B. Idris, (1997). Mengenak Qanun Jenayah Islam, al-Hidayah, Kuala Lumpur. Hlm. 33

[2] Ibid.

[3] Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghari, pembentangan kertas kerja bertajuk Ajaran Sesat Dan Bahayanya Terhadap Agama Dan Negara. ILIM.

[4] Ibid

[5] Abu Mazaya al-Hafiz dan Abu Izzat al-Sahafi, (2004). Fiqh Jenayah Islam, al-Hidayah, Kuala Lumpur. Hlm 543

[6] Ibn Hajar al-Asqalani, (2005). Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, Dar al-Salam, Qaherah. Hlm 358

[7] Paizah Ismail, (1991). Undang-Undang Jenayah Islam, Dewan Pustaka Islam, Petaling Jaya. Hlm 249