MEMINUM ARAK  

Posted by WaN_IkRaM in

KESALAHAN MEMINUM ARAK

Pengharaman Arak

Al-Quran : Allah mengharamkan arak menggunakan kaedah berperingkat-peringkat di dalam al-Quran.

1. Bermula dengan membezakan di antara rezeki yang halal dengan arak secara tidak langsung (al-Nahl : 67).
2. Kemudian penerangan kandungan arak dan kegunaannya di dalam kehidupan, walaupun ada manfaatnya, tetapi keburukannya lebih besar lagi. (al-Baqarah : 219)
3. Pengharaman di dalam waktu solat sahaja. (al-Nisa’ : 43)
4. Pengharaman secara total. (al-Maidah : 90, 91)

Pengharaman berperingkat ini merupakan kaedah pengharaman yang amat bijaksana kerana di akhirnya, umat Islam telahpun bersedia sepenuhnya untuk meninggalkan arak.

HAD SEBATAN BAGI KESALAHAN MEMINUM ARAK

Al-Quran : Langsung tidak menyentuh mengenai hukuman duniawi terhadap peminum arak.
Al-Sunnah : Berbagai riwayat hadis tentang hukuman bagi peminum arak diriwayatkan oleh para sahabat dan ulama’. Maka jika pengharamannya ada dalil, hukuman pun ada dalil, jelaslah ianya merupakan hudud.

Jumlah Sebatan Kesalahan Meminum Arak
JUMHUR FUQAHA’ : 80 kali sebatan
SYAFI’E dan ZAHIRI : 40 kali sebatan


Punca perselisihan pendapat dikalangan para Fuqaha’.

Punca perselisihan adalah berdasarkan hadis yang menyatakan bahawa Abu Bakar menyebat 40 kali sebatan, manakala Umar menyebat 80 kali sebatan pada akhir pemerintahannya disebabkan keadaan yang mendesak untuk menambah bilangan sebatan oleh kerana berleluasanya kesalahan meminum arak dan menjualnya.

Sebagaimana hadis yang paling jelas sahih yang diriwayatkan kepada kita bahawa nabi menyebat 40 kali sebatan, Abu Bakar juga menyebat 40 kali sebatan, juga Umar pada awal pemerintahannya menyebat 40 kali sebatan, merupakan hukuman hudud yang sebenarnya telah dilaksanakan oleh nabi Muhammad s.a.w. dan khulafa’ al-rasyidin. Maka hukuman yang telah ditetapkan merupakan 40 kali sebatan.

Manakala hadis-hadis yang berbagai-bagai bentuk hukumannya, yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri terhadap peminum arak , (seperti melumurkan muka peminum arak dengan tanah, disuruh mencemuh peminum arak, adakala juga peminum arak dilarang daripada dicemuh) sebenarnya adalah merupakan ajaran nabi kepada umatnya bahawa hukuman tambahan (jika ingin dilakukan) boleh dan harus dan hukuman yang berbagai-bagai ini merupakan bukti bahawa ianya merupakan hukuman yang berbentuk ta’zir.

Hukuman yang berbagai-bagai yang dilakukan oleh Nabi s.a.w, sebenarnya merupakan didikan tentang hukuman ta’zir yang dibolehkan tambahannya pada hukuman hudud yang telah ditetapkan. Umar misalnya, menambah hukuman bagi peminum arak ini selepas menyebatnya dengan hukuman yang berbagai-bagai. ( Membakar rumah penjual arak, peminum arak dibuang daerah, menukar rambut peminum arak dan sebagainya.) Ini dilakukan oleh Umar apabila beliau benar-benar memahami bahawa Rasulullah s.a.w. membuatnya atas dasar hukuman tambahan ini merupakan hukuman ta’zir.

Jika 80 kali sebatan yang dilakukan oleh Umar r.a. kita ambil sebagai hukum hudud, maka segala penambahan yang pernah dilakukan oleh beliau selain daripada penambahan bilangan sebatan juga perlu diterima sebagai hudud.

Sebatan 80 kali yang dicadangkan dan lebih disukai oleh Ali bin Abi Talib juga adalah berdasarkan pemahamannya bahawa ianya merupakan 40 kali hudud dan 40 kali yang lain merupakan tambahan dan bersifat ta’zir. Oleh kerana itulah, Ali berkata : “Aku tidak pernah terasa terkilan apabila seseorang yang dikenakan hukuman hudud itu mati kecuali peminum arak. Sekiranya dia mati (selepas dihukum) aku pasti akan membayar diatnya. Ini kerana Rasulullah tidak pernah menentukan hukuman itu”.

80 kali sebatan masih lagi merangkumi 40 kali sebatan, maka logiknya, ianya diterima 40 kali hudud, 40 kali lagi tambahan ta’zir. Sebab itulah Ali berkata sedemikian, kerana jika seseorang itu mati selepas dihukum 80 kali sebatan, kemungkinan besar dia mati kerana penambahan ta’zir sebanyak 40 kali lagi. Tetapi jika 80 kali merupakan hudud, mengapa Ali mengatakan sedimikian?

This entry was posted on Friday, October 16, 2009 at 6:53 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment