PENYEBARAN AJARAN SESAT  

Posted by WaN_IkRaM in


Al-Riddah bermaksud perbuatan keluar daripada agama Islam oleh orang Islam yang akil baligh kepada kekufuran dengan pilihannya sendiri. Al-Riddah ini boleh berlaku kerana salah satu daripada tiga sebab[1] :

· Rosaknya keyakinan hati.

· Mengucapkan kata-kata kufur.

· Melakukan perbuatan kufur.

Ajaran sesat bermaksud sesuatu ajaran yang diajarkan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, ianya sesat dan menyeleweng daripada aqidah Islam yang sebenar yang dibawa melalui al-Quran dan al-Sunnah. Takrifannya ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau sebahagian daripada ajaran Islam sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al Quran dan al Sunnah.

Apabila seseorang itu mempercayai sesuatu ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam yang asas seperti ada rasul lagi selepas Nabi Muhammad s.a.w, menunaikan haji dengan mengelilingi batu di rumah, dan sebagainya yang benar-benar bertentangan dengan ajaran Islam yang diturunkan Allah s.w.t melalui Rasulullah s.a.w maka ia dapat dikategorikan sebagai al-Riddah dan orang yang mempercayainya adalah murtad. Maknanya, ajaran sesat adalah merupakan salah satu cara untuk seseorang itu dikategorikan sebagai murtad.

Syarat-syarat al-Riddah [2]:

· Islam.

· Taklif iaitu Akil dan Baligh.

· Dilakukan dengan sengaja.

· Perbuatan itu menyakinkan dan tidak meragukan.

Ciri-ciri Ajaran Sesat di Malaysia kebanyakannya adalah seperti berikut [3]:

1. Menyalahi Prinsip Sumber Perundangan Islam.

2. Berhubungan dengan kuasa jin, syaitan dan iblis.

3. Mengaitkan Unsur-Unsur tareqat, mitos, persilatan dan perbomohan.

4. Fanatik kepada ketua atau pemimpin.

5. Semberono dalam pengambilan hukum dan fatwa.

6. Bersifat tertutup dan banyak berahsia.

7. Beranggapan benar dan Ekstremis.

Perkaitan di antara murtad dan ajaran sesat dapat dilihat di mana ajaran sesat merupakan salah satu cabang di dalam al-Riddah. Golongan murtad yang diperangi oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq contohnya, dikategorikan sebagai sesat kerana ada yang mengaku Nabi dan mempunyai pengikut yang mengakui orang yang mendakwa sebagai Nabi itu. Perkara sedemikian juga berlaku di dalam ajaran-ajaran sesat moden di Malaysia dan di seluruh negara-negara Islam.

I’tiqad dan kepercayaan di dalam sesuatu ajaran sesat yang kemudiannya dinisbahkan bahawa ia adalah ajaran Ialam yang sebenar adalah benar-benar menyeleweng dan menyimpang dari ajaran Islam. Kesimpulannya, berdasarkan ciri-ciri ajaran sesat secara keseluruhannya, dapat diertikan bahawa ajaran sesat juga memang diaplikasikan di dalam hukum al-Riddah kerana persamaan ciri-cirinya.

Malah jika dilihat kesan buruk ajaran sesat ini, ianya perlu dibincangkan secara serius di dalam disiplin ilmu hudud. Antaranya[4] :

1. Merosakkan aqidah seseorang

2. Gejala pencemaran aqidah dan murtad berleluasa.

3. Masa terbuang dengan aktiviti tidak berfaedah.

4. Mengganggu agenda pembangunan Islam.

5. Kehidupan tidak stabil.

6. Minda tertutup dan dikongkong

7. Mengancam keselamatan negara.

8. Tanggunggjawab terabai- Runtuhnya institusi kekeluargaan

9. menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara.

Yang teramat penting ialah murtad akan berleluasa dengan kemunculan ajaran-ajaran sesat ini. Oleh itu, ajaran sesat yang bertindak sebagai salah satu kaedah, wadah dan platform untuk berleluasanya gejala murtad ini, perlu diberi penekanan. Apatah lagi penyebar kepada ajaran sesat berkenaan sepatutnya diberi hukuman yang berat supaya perkara ini dapat dibendung dan diselamatkan.

Hukuman terhadap murtad.

Berdasarkan sifat kesalahan murtad itu sendiri, fuqaha membahagikan kepada tiga bahagian iaitu hukuman asal, hukuman alternatif dan hukuman berbangkit ataupun tambahan.[5]

1. Hukuman asal

Hukuman asal bagi kesalahan ini adalah bunuh. Hukuman ini adalah wajib sama ada lelaki atau perempuan. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud, sesiapa yang menukar agamanya (Islam) maka bunuhlah dia[6]. ((من بدل دينه فاقتلوه)) Bagaimanapun, sebelum hukuman ini dapat dilaksanakan, perlulah untuk diminta bertaubat orang yang murtad itu. Ada pandangan mengatakan bahawa mustahab sahaja, dan ada yang mengatakan wajib.

2. Hukuman alternatif

Hukuman ini hanya dikenakan apabila hukuman asal tidak dapat dikenakan. Ada dua keadaan seperti itu iaitu pesalah bertaubat dan jika pesalah itu kanak-kanak atau perempuan. Hukuman yang akan dijalankan adalah seperti dipaksa masuk Islam semula dan ditahan. Malah jika perbuatan ini terjadi berulang kali, perlu dikenakan hukuman yang berat supaya ianya tidak berulang. Tetapi jika baru pertama kali, maka boleh diberi kemaafan.

3. Hukuman Berbangkit

Merampas semua harta orang yang murtad. Ada beberapa pendapat terhadap hukuman ini. Ada yang mengatakan bahawa hak milik hartanya itu masih ada tetapi pengurusannya digantung sehinggalah dia bertaubat, ada juga mengatakan tiada hak milik baginya terhadap hartanya, hanya dikembalikan apabila bertaubat, dan ada juga yang mengatakan digantung hak miliknya.

Mengurangkan kuasa pengurusan terhadap hartanya. Segala perolehan ataupun pendapatan seorang yang murtad sebenarnya tidak terjejas. Cuma pengurusannya terhadap hartanya sama ada sebelum murtad dan sesudah murtad akan digantung.[7]



[1] Drs. Abd Ghani Azmi B. Idris, (1997). Mengenak Qanun Jenayah Islam, al-Hidayah, Kuala Lumpur. Hlm. 33

[2] Ibid.

[3] Hj Zamihan Hj Mat Zin al-Ghari, pembentangan kertas kerja bertajuk Ajaran Sesat Dan Bahayanya Terhadap Agama Dan Negara. ILIM.

[4] Ibid

[5] Abu Mazaya al-Hafiz dan Abu Izzat al-Sahafi, (2004). Fiqh Jenayah Islam, al-Hidayah, Kuala Lumpur. Hlm 543

[6] Ibn Hajar al-Asqalani, (2005). Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, Dar al-Salam, Qaherah. Hlm 358

[7] Paizah Ismail, (1991). Undang-Undang Jenayah Islam, Dewan Pustaka Islam, Petaling Jaya. Hlm 249

This entry was posted on Monday, August 10, 2009 at 12:33 AM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment