Isu Zakat Moden Dan Pemilikan Harta  

Posted by WaN_IkRaM in

Dalam isu-isu pemilikan harta yang ingin kita bincangkan disini adalah mengenai pemilikan yang diikhtilafkan kewajiban zakat keatasnya. Ini berlaku kerana perbezaan corak pemilikan harta di Malaysia yang berlaku sekarang. Ianya bukan lagi seperti di tanah arab pada zaman Rasulullah s.a.w dan khulafa’ rasyidin. Perkembangan dunia moden kini dengan percambahan pemikiran, termasuklah dalam soal pencarian harta.

Maka dengan berasaskan kepada perubahan ini dan hakikat sejarah perkembangan hukum Islam, apa yang disebut sebagai hukum itu,seperti kewajipan zakat atas harta tertentu, biasanya bukan sahaja yang terbina atas dasar nas syarak, tetapi juga dipengaruhi oleh nilai keintelektualan yang ada pada mujtahid yang menentukan hukum itu, nilai-nilai semasa, realiti hidup serta budaya setempat dan semasa dan sebagainya.


Harta atau “Mal” bererti apa sahaja yang dimiliki dan memberi manfaat. Tetapi dalam permasalahan zakat harta yang digunapakai ialah harta yang dimiliki dan boleh disimpan sebagai tujuan keperluan. Ianya mestilah dalam bentuk benda.

Jika diteliti kepada syarat-syarat umum zakat harta, yang dimaksudkan dengan harta disini adalah harta yang dimiliki secara sempurna. Pemilikan juga bukanlah bermaksud sesuatu yang bersifat fizikal atau benda, tetapi sesuatu hak yang diiktiraf oleh syarak antara seseorang itu dengan sesuatu benda. Hubungan itu menyebabkan dia mempunyai keistimewaan yang dapat menghalang orang lain daripada memiliki benda itu. Ianya bermaksud pemiliknya bebas menggunakannya, segala faedah dan manfaat harta itu kembali kepadanya sahaja dan tiada kaitan orang lain ke atas harta itu. Sekiranya syarat ini tidak dipenuhi, maka pemilikan itu dikira tidak sempurna dan dikecualikan daripada zakat. Diantara milik tidak sempurna adalah harta yang tiada pemilik tertentu,harta waqaf dan harta yang haram.


Harta Yang Tidak Disepakati

1) Pemilikan yang tidak jelas

Pemilikan disini bermaksud hak monopoli yang diperoleh atas harta berkenaan dan berada di tangan tuan punya berkenaan, boleh diurus mengikut sesuka hati dan segala faedah dikembalikan kepada pemiliknya.

Isu yang timbul disini adalah berkenaan pemilikan harta seperti Petronas kerana ianya melibatkan atas harta awam yang tidak diwajibkan zakat keatasnya. Ianya menjadi persoalan samada syarikat Petronas dimiliki oleh individu atau kerajaan.

Isu yang timbul juga adalah melibatkan simpanan KWSP. Pada hakikatnya wang tersebut kepunyaan pekerja berkenaan. Tetapi ia tidak berada dalam kuasa pekerja berkenaan sampai boleh diuruskan dengan kehendak hatinya. Walaubagaimanapun konsep KWSP ini boleh diqiyaskan dengan “hutang yang akan dibayar”. Ini bermakna jika hutang itu telah sampai tempoh untuk dilunaskan dan pemberi hutang mampu mengambilnya daripada orang yang berhutang yang sudah mampu melunaskannya, maka wajib keatas pemberi hutang mengeluarkan zakatnya sebaik sahaja tiba masa wajibnya, walaupun dia belum memperolehi bayaran hutangnya.

2 ) Perolehan, Pendapatan Bebas Dan Profesional

Ianya bermaksud semua pendapatan yang diperolehi daripada kegiatan ekonomi yang diterima dalam bentuk wang secara langsung seperti bon, saham dan usaha pendapatan bebas serta pendapatan bukan daripada kegiatan ekonomi seperti mas kahwin dan hadiah. Oleh kerana ia bersifat wang, maka pemilik boleh dikenakan zakat berdasarkan sifatnya sebagai orang kaya yang memiliki wang. Maka ianya dizakatkan berdasarkan illah kekayaan. Zakat upah kerja atau gaji juga tidak ada bezanya dengan jerih petani. Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya : “Wahai orang-orang Yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu Yang baik-baik....

3) Zakat Bangunan

Persoalan ini tidak pernah dibincangkan dahulu. Ianya mula muncul pada zaman sekarang kerana ianya sudah menjadi suatu perolehan yang lumayan. Contohnya seperti perolehan hasil daripada sewaan dewan, premis perniagaan, hotel dan sebagainya. Mereka meetapkan zakatnya sama seperti zakat tanaman. Kerana tanah tidak dikenakan zakat, tetapi hasil tanaman yang dikenakan zakat.

Menurut Wahbah az-Zuhaily, beliau memandang bahawa zakat untuk harta kekayaan seperti itu (sewa bangunan) perlu dikeluarkan kerana adanya sifat (illat) yang sama, iaitu pertumbuhan dan pertambahan pada harta kekayaan tersebut. Hukuman selalu dikenakan atas sesuatu yang memiliki illat yang sama.

Tidak diwajibkan zakat pada bangunan yang didiami, kilang, kapal dan seumpamanya, tetapi zakat diwajibkan pada hasil keuntungannya apabila cukup nisab dan genap haulnya. Resolusi ini bersesuaian dengan pendapat yang diriwayatkan daripada Imam Ahmad di mana beliau berpendapat bahawa bangunan yang digunakan ini dikeluarkan zakat daripada hasil dan perolehannya. Sebahagian ulama’ Maliki berpendapat bahawa zakat ke atas faedah (sewa) barang yang digunakan hendaklah dikeluarkan ketika penerimaan faedah itu.

4 ) Hasil Tanaman

Ianya terbahagi kepada 2 bahagian. Pertama hasil tanaman tahan lama seperti pokok kopi, koko,bawang, kunyit, halia dan sebagainya. Manakala hasil tanaman tak tahan lama seperti kelapa sawit, getah dan sebagainya. Walaupun terdapat banyak khilaf dalam permaslahan ini, namun adalah kurang sesuai dengan objektif syariat Islam jikalau para penanam padi dikenakan zakat sedangkan pengusaha estet getah, kelapa sawit dan sebagainya dilepaskan.

5 ) Hasil Ternakan

Terdapat perbezaan pendapat mengenai ternakan selain dari al-An’aam yang dipelihara melalui pembiakan bagi tujuan keuntungan wajib dikenakan zakat. Masalah ini timbul dengan realiti kini seperti rusa yang diusahakan secara komersil bagi tujuan penjualan daging.

Begitu juga zakat penghasilan daripada binatang seperti zakat madu lebah. Maka sebahagian fuqaha mengqiyaskan telur ayam, ulat sutera dengan madu kerana kedua-duanya keluar dari dari binatang. Menurut al-Qaradhawi apa sahaja harta yang tidak diwajibkan zakat atas dirinya, diwajibkan zakat atas penghasilannya, iaitu tanaman, kerana bumi tidak dikenakan zakat, begitu juga madu kerana lebah tidak dikenakan zakat termasuklah telur ayam, sutera yang dikeluarkan ulat sutera dan sebagainya. Hujah ini merupakan qiyas yang tepat.

6 ) Hasil galian

. Menurut Abu Hanifah ianya mestilah bersifat sesuatu yang dapat dilebur. Manakala menurut mazhab Maliki dan Syafi’e, zakat galian hanyalah kepada emas dan perak. Namun, masih terdapat ruang yang luas jika kita mengguna pakai pendapat Mazhab Ahmad dengan berpendapat tidak ada sesuatu yang membezakan antara cecair dan pepejal juga yang boleh dilentur atau tidak. Contohnya seperti penghasilan minyak seperti yang diusahakan oleh Petronas. Mahupun seperti timah, besi, tembaga, zamrud permata berlian, minyak dan dan lain-lain.


KESIMPULAN

Perbezaan realiti hidup dan pemilikan ini perlu diambil kira dalam penentuan harta-harta yang sepatutnya dikenakan zakat di Malaysia. Kewajipan ini bukan sahaja terbina atas nas syarak sahaja, tetapi dipengaruhi nilai-nilai ilmu semasa, realiti hidup,budaya setempat dan semasa dan sebagainya. Ianya juga melalui metode-metode pemahaman yang diiktiraf seperti qiyas, istihsan dan maslahah malah disokong kuat oleh prinsip umum syariah Islam dan objektif pensyariatan zakat iaitu pembelaan material kepada yang memerlukan dan objektif jaminan sosia

This entry was posted on Sunday, August 9, 2009 at 9:56 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment