Air Jampi Tok Ca  

Posted by WaN_IkRaM

Air jampi tok ca digunakan dalam pelbagai amalan magis dan perbomohan kerana air tersebut dianggap sebagai bahan yang mengandungi unsur-unsur magis dan kesaktian, iaitu sebagai hasil daripada tindakan Bikhu ( monk) yang menyediakannya. Dua elemen kudus perlu dilibatkan dalam menghasilkan air jampi : bikhu yang membaca formula berkenaan dan formula itu sendiri yang terdiri daripada ayat-ayat suci Buddhis dalam bahasa Pali yang dikenali sebagai parit.

Dalam istilah Siam, air jampi dikenali sebagai nam mon. istilah ini terdiri daripada dua patah perkataan dalam bahasa Thai : nam bermaksud air, sementara mon adalah istilah yang berasal daripada bahasa Sansekerta, mantra yang bermakna jampi atau mantera. Nam mon merupakan air jampi yang dihasilkan melalui pembacaan ayat-ayat suci ( suat mon ) oleh sekumpulan bikhu.

Bagi menghasilkan Nam mon, 3 jenis bahan diperlukan : air biasa yang jernih, sejenis "benang mentah" (sai sin) dan beberapa batang lilin. Mula-mula sekali, air diisikan ke dalam sebuah batil (bat) yang diletakkan di hadapan sebuah patung Buddha. Beberapa batang lilin yang bernyala dilekatkan di atas birai batil. Sementara itu pula, satu hujung benang mentah itu diikat pada bahagian bawah patung Buddha . Tali itu kemudiannya dililit pada bekas berisi air sebanyak satu kali ; yang selebihnya dipegang oleh sekumpulan bikhu. Ayat-ayat suci parit dibaca serentak oleh semua bikhu, apabila hampir kepada bacaan ayat terakhir, salah seorang daripada bikhu, biasanya yang tertua, akan mengambil sebatang daripada lilin yang menyala itu. Sambil memusing batil berisi air itu pada birainya, beliau akan menitikkan lilin cair ke dalamnya. Apabila selesai bacaan parit, bikhu tersebut akan memadamkan lilin yang menyala dengan mencelupkannya ke dalam air dalam batil tersebut.

Air jampi digunakan di kalangan orang Siam untuk pelbagai tujuan. Air jampi yang baru sahaja disediakan direnjis oleh bikhu ke atas kepala para hadirin yang menyertai sesuatu upacara kebiaraan. Tujuannya ialah untuk menguatkan semangat mereka, dan juga untuk menjauhkan diri daripada kecelakaan. Lebihan air jampi disimpan di biara dalam balang kaca untuk berbagai-bagai kegunaan lain, termasuklah sebagai bahan asas untuk melarutkan ubat-ubat (tumbuhan). Air jampi juga dibawa balik ke rumah untuk dicurahkan ke dalam perigi supaya air dalam perigi itu mendapat hikmat bacaan parit. Pendek kata air jampi adalah bahan yang bersifat serbaguna di antara bahan-bahan magis yang terdapat di biara.

Dari segi tekniknya, cara penyediaan air jampi cara Siam hampir sama dengan penghasilan air tawar oleh pengamal Melayu ; kedua-duanya melibatkan pembacaan ayat-ayat tertentu yang akan menukarkan sifat air tersebut daripada air biasa kepada air yang mempunyai kuasa magis. Air tawar yang disediakan oleh orang Melayu juga bersifat serbaguna kerana air tersebut boleh dipakai untuk berbagai-bagai tujuan magis dan sebagai penawar.

Air jampi yang disediakan oleh bikhu juga digunakan oleh orang Melayu mungkin secara tidak disedari oleh mereka, terutama sekali oleh mereka yang berkunjung ke biara untuk mendapatkan rawatan perubatan daripada bikhu atau pengamal Siam yang lain. Jika mereka datang untuk mandi air limau atau mandi air bunga bagi menolak sesuatu bala, atau membersihkan diri daripada sial, maka air mandi yang disediakan itu pastinya telah juga dicampurkan dengan air jampi tok ca selain bahan biasa yang seperti bunga-bungaan, air beluru, dan hirisan limau purut. Jika mereka datang untuk mengambil ubat-ubatan tradisional, kemungkinan besar akar kayu dan ramuan herba yang diberikan itu telah dilarutkan dalam air yang bercampur dengan air jampi. Selain itu dalam penyediaan ubat penyeri muka, dan peralatan hiasan diri yang lain, bedak sejuk yang digunakan sebagai asas juga dicampur dengan air jampi. Bagi orang Melayu juga air jampi yang dihasilkan oleh para bikhu dianggap sangat mujarab jika disiram di tempat-tempat atau objek-objek yang telah dipanah petir.

Rujukan & Nukilan : Elemen Siam & Buddhis Dalam Sistem Kepercayaan Tradisional Orang Melayu Kelantan, Mohamed Yusoff Ismail, dalam Kosmologi Melayu (2001).

This entry was posted on Monday, January 4, 2010 at 9:21 PM . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment