Masalih al-Mursalah @ Maslahah  

Posted by WaN_IkRaM in

Konsep Maslahah

Di dalam kitab al-Mustasfa Min Ilmi al-Usul karangan Imam al-Ghazali, makna maslahah pada asalnya ialah menjaga kebaikan atau kepentingan dan menolak kemudharatan dan kerosakan. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan maslahah ialah penjagaan dan pemeliharaan maksud atau tujuan pensyariatan sesuatu hukum dan syariat. Manakala penjagaan dan pemeliharaan maksud Syarak terhadap makhlukNya ada lima iaitu : menjaga agama mereka, jiwa mereka, akal mereka, keturunan mereka, dan harta mereka. Menurut beliau lagi, apa-apa yang dapat membawa kepada penjagaan maksud dan tujuan perkara yang lima ini ialah maslahah, manakala apa-apa sahaja perkara yang boleh membawa kepada kerosakan perkara yang lima ini dipanggil mafsadah.[1]

Maslahah mursalah merupakan maslahah yang tidak diperakui oleh Syarak secara nas yang tertentu dan khas, juga tidak dinafikan. Tetapi sesuatu itu dilihat sebagai platform atau landasan untuk mencapai maqasid al-Syarak iaitu menjaga kebaikan dan menolak kemudharatan.[2]

Bagaimanapun, menurut al-Amidi, hanya mazhab Maliki sahaja yang menggunakan dan menerimapakai Maslahah Mursalah ini, manakala mazhab Syafie dan Hanafi tidak berpegang dengannya sebagai salah satu sumber perundangan Syarak, akan tetapi menerima maslahah yang diperakui Syarak sahaja.[3]

Walaubagaimanapun, apa yang dimaksudkan oleh al-Amidi ini adalah merupakan Maslahah Yang Tertolak ataupun Maslahah Gharibah (Tidak berasas). Ini adalah kerana, jika diamati dan ditelusuri fatwa-fatwa dan ijtihad Imam al-Syafie sendiri serta Ulama' al-Syafi'iyyah, golongan ini sebenarnya secara praktiknya menerimapakai Maslahah sebagai salah satu sumber perundangan Islam dan asas ijtihad mereka. Begitu juga dengan Mazhab Hanafi dan Hanbali, cuma yang menjadi perbezaannya hanya kelonggaran dan keterikatan mazhab di dalam menggunakannya. Ada yang banyak menggunakannya serta longar sedikit syarat pemakaiannya, dan ada yang ketat dan rigid. Malah menurut Wahbah al-Zuhayli, di dalam kitabnya Usul al-Fiqh al-Islami, keempat-empat mazhab ini sebenarnya menggunakan Maslahah dan mengiktirafnya di dalam ijtihad perundangan Islam.


Pembahagian maslahah menurut al-Ghazali dari konteks pengakuan syarak terhadap maslahah tersebut ada tiga[4] :

1. Maslahah yang dinaskan ataupun yang diperakui oleh syarak bahawa maslahah inilah yang diinginkan daripada pensyariatan sesuatu.

2. Maslahah yang dinaskan dan diperakui oleh syarak bahawa maslahah inilah yang tidak dikehendaki oleh syarak.

3. Maslahah yang tidak diperakui oleh syarak bahawa samada maslahah itu yang dikehendaki ataupun maslahah itu yang tidak dikehendaki.

Manakala menurut al-Syatibi, penjagaan maksud Syarak di dalam penetapan SyariatNya, dapat dikategorikan kepada tiga iaitu, dharuriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat.[5] Pembahagian yang tiga ini menurut al-Ghazali pula ialah termasuk di dalam kategori yang ketiga di dalam pembahagian pengakuan Syarak terhadap maslahah sepertimana yang telah dibincangkan di atas.[6] Huraiannya sebagaimana berikut:

Dharuriyyah : merupakan tingkat pertama dan terkuat di dalam maslahah, iaitu menjaga keutamaan asas yang lima iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta

Hajiyyah : merupakan kepentingan biasa, maksudnya ianya diraikan untuk menolak kesusahan tetapi tidak sampai merosakkan lima keutamaan tadi.

Tahsiniyyah : pelengkap kepada kehidupan dan maslahah. Keselesaan dan penambahbaikan di dalam sesuatu syariat dan maslahah.

Pengkategorian ini adalah penting di dalam memahami keutamaan di dalam menetapkan sesuatu hukum, di mana keutamaan yang pertama akan diberikan kepada keutamaan asas (dharuriyyat), kemudiannya ialah kepentingan biasa (tahsiniyyat) dan seterusnya barulah keselesaan (Tahsiniyyat).[7]



[1] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, (2000). al-Mustasfa Min 'Ilm al-Usul. Jilid 2. Beirut, Muassasah al Risalah. Hlm 481 & 482.

[2] Yusuf Ahmad al-Badwi, (2000). Maqasid al-Syariah Inda Ibn Taimiyyah, Jordan, Dar Al-Nafais. Hlm. 352

[3] Ali Ibn Muhammad al-Amidi, ( 2003). al-Ihkam Fi Usul al-Ahkam, jilid 4, Riyadh, Dar al-Shami’ie. Hlm. 195

[4] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, op.cit. Hlm. 478

[5] Abu Ishak Ibrahim Al-Syatibi, (1997). Al-Muwafaqat, jilid 2, al-Khubar, Dar Ibnu Affan. Hlm. 17

[6] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, op.cit. Hlm. 481

[7] Mahmood Zuhdi Abdul Majid, (2006). Pengaruh Timbal Balik Antara Hukum Dan Budaya Dalam Syariat Islam, Dlm, Md. Salleh Hj Md @ Hj. Ahmad et.al, Hukum Islam Dan Budaya Tempatan, Kuala Lumpur, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Hlm. 4.

This entry was posted on Monday, January 4, 2010 at 10:08 PM and is filed under . You can follow any responses to this entry through the comments feed .

0 comments

Post a Comment